Berikut adalah karangan SL Wong bertajuk ‘Two Roads Diverged in a Yellow Wood’ yang diterjemahkan oleh Hedy Holzwarth. Karangan ini adalah sebahagian daripada buku ‘Kuala Lumpur – Berlin: Kisah Dua Bandar Raya / Kuala Lumpur – Berlin: Stadtgeschichten’ yang diterbitkan oleh Goethe-Institut Malaysia dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2012.
Kami memilih jalan yang berbeza pada hari itu. Keputusan itu seperti yang diambil oleh Frost, tetapi lebih bersifat yang “mengetahui bagaimana jalan menghantar kepada jalan” daripada yang bertualang mencari jalan yang kurang dilalui ramai, sebab kami memang sedang menjelajahi Berlin. Walaupun demikian, kami hairan ke mana jalan ini membawa kami.
Sebidang kebun mawar tersusun, sebuah patung oriental yang aneh, sebuah tasik yang besar dan sebidang taman tenggelam.
Pada saat itu awal musim bunga dan segalanya serba segar dan hijau selepas musim dingin yang terasa teruk bahkan juga bagi Berlin.
Para-para tanaman yang berderet di tepi jalan yang lebar di kebun mawar itu penuh dengan bunga, bunga-bunganya menyerupai titik-titik di atas dedaunan bagaikan lukisan Monet. Di tengah-tengahnya terdapat yang dinamakan Indischer Brunnen (Pancuran air India) dengan sebuah patung yoga yang androgini bertakhta di atasnya di kelilingi oleh, antara lain, kepala singa yang memancut air.
Terhampar di hadapan kami sebuah tasik yang luas dengan gereja yang tersergam anggun dalam gaya neo klasik. Pada hujung yang paling jauh daripada tasik itu rumput buluh yang rimbun membentuk latar belakang yang permai bagi tetamu kafe dan sekaligus menjadi habitat bagi burung dan bahkan penyu.
Tasik yang luas itu merupakan sebuah kontrast terhadap taman tenggelam yang membentang ke arah timur dalam bentuk huruf ‘J’ yang menyempit. Beberapa meter lebih rendah daripada aras jalan, ruang kecil dengan lanskap yang terawat indah itu membatasi vegetasi yang liar. Pada hujung taman lajuran tangkai-tangkai bunga lavendel, tegak seperti menampilkan kejantanan, sesuai dengan musim, dan juga beralun-alun dalam berbagai nuansa warna ungu.
Seluruh kawasan itu dikenal sebagai Luisenstädtischer Kanal (Terusan Luisenstadt). Dan kedamaiannya merupakan pertentangan yang mencolok dengan penggunaan sebelumnya sebagai Jalur Maut di tapak Tembok Berlin. Bahawa ia kini telah diubah menjadi secercah keindahan dan cerminan alam semula jadi adalah tipikal bagi Berlin. Begitu pula dengan proses perubahannya melalui tindakan warga serta penanggalan lapisan-lapisan masa lalu untuk diubahsuaikan bersesuaian dengan masa kini.
Di Berlin ruangan membuka secara tidak terduga-duga dan sukar dijelaskan suatu warisan dari Perang Dunia Ke-2 dan Perang Dingin. Tetapi justeru kawasan macam inilah, kebolehan dan perkembangannya yang beransur-ansur yang menambah keunggulan dan karakter Ibu Negara Cool.
Dan sementara bandar itu berkembang dan berubah, pertanyaan apa yang dapat dilakukan dengan tempat ini dijamin merupakan penangkal pemicu bagi reaksi yang berjulat dari hati-hati dan praktis hingga kobaran emosi yang bersemangat dan terkilan. Ini disebabkan inti pati perdebatan berkenaan adalah Identiti.
Oleh itu, banyak kawasan rekreasi di Berlin tidak pernah hanya dirancang ataupun terbentuk secara kebetulan sahaja, yang alam pun hampir tak pernah dibentuk oleh alam semata-mata dan sejarah tidak pernah tersembunyi jauh di belakang tabir.
Itulah yang kami temui ketika menjumpai Luisenstädtischer Kanal. Sebuah terusan yang digali semasa kawasan itu masih bernama Luisenstadt, sebuah bandar merdeka yang wujud antara tahun 1802 dan 1920 dan telah mengalami pembaharuan berulang kali. Ketika terusan itu sudah tidak cocok memenuhi matlamat awalnya sebagai sistem perparitan dan jalur pengangkutan, terusan itu diisi semula.
Ketika terusan itu menjadi bahagian daripada pusat sivik yang baharu pada tahun 1926, seorang pengerusi pertamanan bandar yang berilham mengubah ia menjadi sebuah kesatuan lanskap hijau yang dapat memenuhi setidak-tidaknya tujuan berkenaan. Dari sepuluh bahagian yang berbeza-beza itu, yang paling mengagumkan adalah perubahan bahagian ‘J’ yang sangat sempit menjadi sebuah taman tenggelam yang unik.
Perang telah merosak taman itu, tetapi Tembok Berlinlah yang membuatnya menjadi tanah terbiar. Selepas Tembok Berlin runtuh penduduk berhimpun menentang pembangunan sebuah lebuh raya di sana. Ekskavasi yang secara tidak disangka-sangka mendedahkan struktur taman yang masih lengkap itu mengukuhkan alasan untuk mengembalikan kawasan itu pada kemasyhuran hijaunya dan menghidupkan kegunaan awamnya yang semula disertai matlamat tambahan bagi menyatukan hubungan Timur dan Barat.
Hal yang sama boleh dikatakan mengenai banyak jalan air di Berlin, yang sesetengah di antaranya juga berfungsi sebagai Jalur Maut selama Perang Dingin. Kini, jalan-jalan air ini merupakan bahagian daripada kawasan sepanjang Sungai Spree dan berbagai terusan Berlin yang terbuka bagi orang ramai.
Mereka termasuk antara jalan yang paling kami sukai untuk bersiar-siar, sebab jalan ini memungkinkan kami bernafas sambil mengambil bahagian pada kelapangan ruang yang disediakan oleh sungai lebar yang mengalir perlahan serta tebing sungai yang luas dengan leretan pokok.
Apabila bangunan dan jalanan dan kereta dan laluan pejalan kaki serta manusia memenuhi jalan air, mereka menghalangi kemungkinan untuk meningkatkan semangat, meredakan kekhuatiran, memberi ilham menyusun puisi dan memberi makan itik. Sama ada berapa pun luasnya jalan air, kita memerlukan ruang di sekitarnya untuk menikmatinya.
Beberapa orang Berlin yang arif memahami hal ini, berkat upaya merekalah sekurang-kurangnya 3.7 kilometer tebing Sungai Spree tetap bebas dari pembangunan oleh satu antara konsortium pelaburan hartanah yang terbesar di bandar itu. Khususnya, mereka adalah sekumpulan warga Friedrichshain-Kreuzberg, bahagian bandar Berlin yang paling padat penduduknya, di mana Sungai Spree ini mengalir.
Prakarsa yang diambil oleh kumpulan ini menentang pembangunan Mediaspree, sebuah projek pemugaran bandar yang pelan induknya meliputi penubuhan syarikat media dan hiburan sepanjang Sungai Spree.
Kumpulan warga yang mengambil prakarsa ‘Versenkt die Mediaspree’ (‘Benamkan Mediaspree’) mengupayakan sebuah referendum yang menghasilkan 87 peratus pengundi menentang pelan induk berkenaan. Pengundi bahkan menuntut garis panduan pembinaan yang baru seperti umpamanya kawasan penampan di tepi sungai selebar 50 meter yang mencangkum laluan pejalan kaki dan basikal dan penggunaan kawasan itu secara kreatif oleh awam. Tinggi bangunan yang baru pun harus dihadkan hingga 22 meter saja, iaitu ketinggian yang selama ini dibenarkan kepada bangunan di Berlin.
Konsortium pelaburan di belakang Mediaspree menyatakan bahawa pindaan pelan pembinaan menimbulkan biaya antara tiga puluh hingga ratusan juta Euro bagi bandar.
Tetapi orang Berlin yang kreatif tidak pernah menunggu hasil prakarsa warga, bahkan juga di sepanjang bahagian yang kecil daripada Sungai Spree ini. Sebuah prakarsa terkenal yang timbul segera selepas Perang Dingin berakhir pada tahun 1989 adalah ketika para seniman dari seluruh dunia mengungkapkan semangat runtuhnya Tembok Berlin pada suatu bahagian sempadan Sungai Spree yang dibenci.
Sekarang dikenal sebagai East Side Gallery (Galeri Sebelah Timur), ia duduk di kawasan sasaran Mediaspree. Karya seni tersebut berjaya menyelamatkan bahagian Tembok Berlin yang sepanjang 1.3 kilometer ini, daripada dirobohkan. Hari ini, ia merupakan bahagian yang paling panjang daripada Tembok Berlin yang masih wujud. Sekaligus ia merupakan galeri seni terbuka yang paling panjang dan paling tua di dunia.
Pada perayaan ulang tahun ke 20 runtuhnya Tembok Berlin, East Side Gallery memperoleh pembaik pulihan yang banyak diberitakan. Tebing sungai di balik Tembok Berlin pun mengalami pembaik pulihan, tetapi tentang itu kurang diberitakan.
Pada suatu hari, selepas mengisi minda dan jiwa dengan karya seni Tembok Berlin yang memberi ilham baru dan bebas graffiti, saya menuju ke belakang galeri dan duduk di atas rumput yang baru ditanam sambil membiarkan kaki berjuntaian di tebing Sungai Spree. Di belakang saya terbentang Tembok. Saya merenungi sungai yang lebar dan, pada sisi kiri saya, sebuah jambatan batu bata bergaya Gothik dari kurun 19 yang bernama Oberbaumbrücke (Jambatan Oberbaum).
Hari itu musim luruh, matahari bersinar. Saya seronok kerana para pelancong bertahan pada sisi Tembok di mana karya seni berada.
Angin berhembus lembut, burung layang-layang mempertunjukkan seni akrobatik mereka yang luar biasa di atas air sementara kapal-kapal melayari dengan tenang melalui arka jambatan yang lebar.
Suasana tenang, tetapi ketenangan itu terasa berat, sarat dengan harga yang harus dibayar untuk itu selama Perang Dingin. Seluruh lebar sungai yang mengagumkan ini dahulu merupakan Jalur Maut. Jambatan yang bak dongeng itu merupakan penyeberangan sempadan yang terbuka satu hala sahaja, dari Berlin Barat ke Berlin Timur.
Pada suatu hari pada masa itu, mungkin seperti hari ini, di dekat jambatan, seorang anak dari Jerman Barat yang berusia lima tahun jatuh ke dalam sungai dan tenggelam, sebab tidak ada persetujuan yang membenarkan orang Berlin Barat untuk bertindak dalam kes kecemasan pada sempadan. Pengawal sempadan Berlin Timur tidak membuat apa pun.
Mungkin itulah sebabnya mengapa Berlin memerlukan fantasi pula. Baru-baru ini, muzik, suara dan ketawa melayang di atas karya seni bahagian tengah East Side Gallery. Sekali lagi penemuan menyenangkan yang tidak disangka-sangka yang menuntun kami ke asal bunyi berkenaan. Ketika kali pertama kami memeriksanya kami tidak dapat mempercayai kejanggalan yang kami lihat.
Pasir: luar biasa banyak. Sesungguhnya, terdapat sekitar 7,000 meter persegi pasir tepat di sebelah Sungai Spree. Dalam dunia kita, tempat pasir adalah di laut, tetapi agaknya orang Berlin yang dikelilingi oleh daratan tidak ambil kesah tentang hal kecil ini. Ataupun oleh kenyataan bahawa mereka tidak mungkin berenang dalam sungai (sungai itu tercemar, walaupun tampaknya tidak demikian).
Tetapi kombinasi timbunan pasir di tebingan sungai membangkitkan fantasi orang Berlin sehingga pantai buatan ini, Oststrand (Pantai Timur), kini hanyalah satu antara banyak pantai di bandar. Ianya bahkan merupakan utopia pantai laut yang paling besar di Berlin lengkap dengan sebuah bar pantai, kerusi malas dan kolam renang getah yang ditiup.
Dalam bulan-bulan yang lebih panas tidaklah mudah mencari sebidang tempat yang masih kosong di mana boleh meletakkan botol losyen perang kulit dan menggerakkan jari-jari kaki secara bebas.
Bersiap sedialah bergaduh dengan orang-orang yang berjemur di matahari yang menyegarkan diri dengan segelas Caipirinha, dan pastikan untuk menjauhkan diri daripada ramai lelaki dan perempuan yang berazam melempar bola sekeras mungkin bila bermain sukan bola pantai (Strandvölkerball) secara serius. Dengan kehadiran tukang urut Asia, orang dapat berkhayal sedang berada di Phuket.
Dan isu remeh tentang tak boleh berenang di Sungai Spree? Mungkin isu itu tak lama lagi boleh masuk masa silam berkat program bermatlamat besar yang digelar Spree2011 yang berupaya membuat orang boleh berenang di Sungai Spree semula. Ianya bukan hanya melibatkan teknologi kejuruteraan yang mutakhir melainkan juga merancang kemungkinan bagi penggunaan sungai itu sendiri menjadi kawasan alam semula jadi dan tempat hiburan seperti umpamanya pulau rumput mensiang atau kafe.
Projek perintis itu berada di bahagian timur daripada Oststrand, masih dalam kawasan sasaran Mediaspree dan menyokong kuat kepentingan adanya akses masuk awam ke tepi sungai serta alam sekitarnya dan bukannya tapak pejabat dan perniagaan.
Sementara ini, sungai yang bersih mungkin tampaknya merupakan fesyen ekologi alaf 21, tetapi Spree2011 sebenarnya belajar dari masa yang silam. Dua ratus tahun yang lalu rumah mandi awam bermula menguasai Sungai Spree dan menjadi semakin digemari oleh ramai. Tempat yang dibatasi sangat penting pada masa itu sebab tidak ramai orang yang tahu berenang, meskipun demikian mereka mahu menikmati rumah mandi awam.
Dengan menggunakan air dari Spree, rumah mandi ini sekali gus menyokong pengembangan seni berenang di antara warga bandar Berlin.
Mereka begitu terkenal, sehingga pada tahun 1930an terdapat tujuh buah di sekitar Jambatan Oberbaum sahaja; tetapi ketika ditemui pencemaran oleh bakteria yang sangat berbahaya dalam air, seluruh rumah mandi di bandar raya ditutup.
Rumah mandi yang paling tua dibangun di atas perahu dan oleh itu dinamai Badeschiff (kapal mandi). Pada tahun 2004, seorang seniman menghidupkan tradisi ini kembali tidak jauh dari projek perintis pembersihan sungai. Dia menyebutnya tentu sahaja Badeschiff untuk mengenang zaman kebesaran berenang di Sungai Spree. Ianya meliputi sebuah kontena kargo yang ditambat di sungai dan diisi dengan air bersih yang dipanaskan.
Bagi mencapai karya mengagumkan berkenaan orang harus berjalan melalui (siapa yang sangka?) pantai buatan sebelum bergerak di atas dek kayu yang terpancang di sungai. Bila orang sudah masuk ke dalam kolam renang terasa bagaikan berenang di Sungai Spree itu sendiri yang sejak 70 tahun tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun. Ini merupakan pengalaman awal yang seronok bagaimana rasanya bila boleh berenang di Sungai Spree itu sendiri tidak lama lagi di masa hadapan.
Sungai Spree bagi Berlin tidak berbeza dengan sungai besar lainnya yang mendorong perkembangan sejumlah bandar, tetapi kemudian dikalahkan oleh keretapi.
Namun apa yang datang setelah keretapi? Sebuah taman yang memukau dan tidak ortodoks yang membangkitkan rasa ingin tahu atas pertanyaan ini adalah Natur-Park Schöneberger Südgelände (Taman Alam Semula Jadi Schöneberg Selatan).
Hari itu matahari bersinar hangat dalam musim bunga, ketika saya melawat taman berkenaan untuk pertama kali, sebuah kawasan yang berusia 120 tahun tempat keretapi dulu dialih. Yang tampak pada pandangan pertama adalah sebuah lokomotif wap berwarna hitam dan merah dalam saiz sebenar.
Penggemar keretapi akan segera mengenalinya sebagai lokomotif keretapi barang Kelas 50. Dengan latar belakang pokok-pokok, ianya berkilau cergas seolah-olah kini masih tahun 1940. Namun, landasan tempat ianya bertenggek telah dipotong. No. 50 3707-2 tidak lagi pergi ke mana jua.
Di seluruh taman yang sempit ini terdapat sejumlah landasan keretapi sebegini yang muncul dan menghilang dalam tanah, landasan yang berasingan atau terpotong-potong, silang-menyilang mahupun sejajar. Berbagai keropas-kerapis keretapi terserak di serata tempat, bermula dari menara air setinggi 50 meter hingga pam dan pengumpil.
Seluruhnya tertutup dengan tumbuh-tumbuhan berwarna hijau limau sesuai dengan musim saat itu dan tumbuh berterusan secara ‘kreatif’ di antara atau menembusi atau bahkan keluar daripada struktur ini.
Tumbuh-tumbuhan inilah yang membuat taman ini menjadi unik mempesonakan. Peninggalan keretapi yang berkarat dan reput itu sendiri mungkin merupakan pemandangan teruk yang menyakitkan mata di kawasan perkuburan industri yang terbiar di merata dunia.
Tetapi alam mengambil alih serta mengubahnya sehingga pelawat malah mengagumi tiang lampu yang berjalin dahan-dahan itu dan menganggapnya seperti patung karya Henry Moore, atau merenungi ironi pokok-pokok yang tumbuh di celah-celah galang landas yang dahulu dipotong dari leluhurnya. Sebaliknya keseronokan belaka yang terasa, bila memerhatikan seekor tupai yang sedang menyelak-nyelak menguasai landasan yang sudah tak digunakan lagi sebagai tempat peninjauannya.
Bahkan sementara saya merenungi makna kemajuan melawan perkembangan alam semulajadi, keretapi berdesing pada kedua-dua sisi taman yang sempit ini, meringkas masa silam dan masa kini secara membingungkan.
Tempat melangsir gerabak keretapi Schöneberger Südgelände dahulu adalah satu antara tempat yang paling sibuk di Berlin, namun selepas Perang Dunia Ke-2 tidak digunakan lagi sebagai akibat keadaan khas yang berpunca pada perjanjian pendudukan.
Tanpa dapat menduga timbulnya Perang Dingin, Berlin Barat, di mana tempat pelangsiran itu berada, jatuh di bawah kawalan Pihak Berikat, sementara seluruh sistem keretapi Berlin yang juga beroperasi di Barat, diatur oleh Berlin Timur. Selepas Tembok Berlin dibangun, warga Berlin Barat memboikot keretapi, sehingga akhirnya menutupkan setengah daripada jaringan keretapi Berlin Barat.
Selepas itu, Schöneberger Südgelände tingggal sebagaimana adanya selama puluhan tahun. Pada tahun 1980 dibuat rancangan untuk menubuhkan sebuah stesen barang baru yang merangkum kawasan pelangsiran lama itu. Pada masa itu alam semula jadi telah berakar dengan kukuh di kawasan itu dan warga bersatu padu menentang pembersihan wahah itu.
Disokong oleh sebuah laporan ekologi yang di luar dugaan malah menegaskan kekayaan ekosistem setempat, kawasan itu dikenal pasti sebagai satu antara kawasan alam semula jadi yang paling berharga di Berlin dengan beberapa seksyen yang kini bahkan telah pun memperolehi status perlindungan.
Hari ini, pelawat menikmati sekitaran keretapi unik yang lengkap yang menyediakan tempat bagi pelbagai tumbuhan, bermula dari pokok renik kering hingga hutan yang penuh dengan juntaian liana dan kawasan rumputan kering. Selain itu, terdapat tumbuhan dan binatang dari daerah lain yang kemungkinan besar ikut sebagai penumpang gelap pada keretapi yang datang ketika stesyen tadi dahulu masih aktif!
Sejarah dan keazaman warga dengan demikian berpadu dalam cara yang sangat berkesan untuk membina berbagai kawasan hijau dan rekreasi di Berlin. Tempat-tempat sebegini merupakan aspek berwarna-warni dan penting dalam mozek bandar raya ini, tidak terduga-duga serta mempesonakan dalam keragamannya. ω
Rujukan
Holzwarth, Hedy, Warnk, Holger dan Wolf, Volker. Eds. Kuala Lumpur – Berlin: Kisah Dua Bandar Raya / Kuala Lumpur – Berlin: Stadtgeschichten. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad, 2012. Cetakan.
Pautan Luar
Bürgerverein Luisenstadt e.V. (Luisenstadt Civic Association)
Initiativkreis Mediaspree Versenken (Sink the Spreemedia Initiative)
Künstlerinitiative East Side Gallery e.V. (East Side Gallery Artists’ Initiative)
Bürgerinitiative Südgelände (Südgelände Citizens’ Initiative)
Deutsche Reichsbahn (1945–1993)
The English version of the story
Die deutsche Version der Geschichte